Halaman

Friday, May 6, 2011

Kembara Roh Manusia

SELEPAS roh dicabut dari tubuh manusia, ia disambut dua malaikat yang sangat cantik wajahnya, berpakaian indah dan berbau harum. Kemudian roh itu dibalut dengan sutera dari syurga. Roh tersebut pun diangkat naik ke langit.
     Apabila tiba di langit pertama, malaikat pembawa roh memperkenalkan diri, kemudian menyebut nama roh tersebut. Gembiralah malaikat penjaga langit itu kerana nama tersebut sudah ada dalam senarai mereka dan tertunggu-tunggu kedatangannya. Lagipun katanya, roh si polan sangat mulia kerana memiliki akidah benar.
     Di pintu langit kedua, roh tersebut disambut malaikat dengan meriah kerana memiliki amalan solat sempurna.
     Ketika sampai di langit ketiga, malaikat mengalu-alukannya dengan penuh takzim kerana sudah mendapat senarai amalannya di atas dunia. Ketika hidup, roh ini sangat berhati-hati tentang harta-hartanya, iaitu mencari harta halal dan membelanjakannya ke jalan kebaikan semata-mata.
     Di langit keempat, malaikat meraikan roh tersebut kerana dia amat menjaga amalan puasanya ketika hidup.
     Di langit kelima, malaikat menyambut roh dengan hormat kerana hajinya yang mabrur. Dia menyempurnakan haji kerana Allah SWT dan bukan untuk bermegah-megah.
     Ketika tiba di langit keenam, malaikat mempersilakan roh memasuki pintunya kerana roh ini merupakan anak yang taat akan ibu bapanya. Hati mereka berdua tidak pernah diguris. Dan dia sebagai anak juga tidak pernah menderhaka.
     Di langit ketujuh, roh disambut dengan gembira kerana inilah orangnya yang sanggup bangun pada tengah malam bertahajud ketika orang lain sedang lena tidur. Orang ini juga selalu menjaga hal anak-anak yatim di sekeliling ketika hayatnya.
     Setelah melepasi langit ketujuh, roh yang berjaya ini tiba di suatu mahligai bernama 'suradiq'. Semua roh orang mulia dalam kalangan mukmin ditempatkan di sini dan disambut dengan gilang-gemilang (Imam Ghazali dalam Kasyfu Ulumil Akhirah).
     Mengapa roh si polan tiada bersama kita sedangkan sudah lama dia mati ? Ohh... rupa-rupanya dia termasuk dalam golongan orang yang rugi, jadi sebab itu tiada di sini. Wallahualam.