WALAUPUN bergurau dibolehkan oleh syarak, namun terdapat batasan atau syarat-syarat yang harus dijaga seperti kita tidak berlebihan dalam bergurau iaitu :
- Pertama : Tidak berlebihan-lebihan dalam bergurau sehingga hilang sifat sopan santun.
- Kedua : Hendaklah gurauan itu dengan tujuan untuk beramah-tamah atau menyenangkan hati orang lain.
- Ketiga : Hendaklah dia tidak mengatakan perkara dusta ketika bergurau (tidak berkata kecuali dalam perkara yang benar). Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Termidzi maksudnya : "Daripada Bahzi bin Hakim, saya mendengar Rasulullah bersabda : Celaka bagi orang yang berbicara dengan pembicaraan untuk membuat manusia ketawa lalu dia berdusta, celaka baginya, celaka baginya".
- Keempat : Hendaklah gurauan itu tidak mengandungi perkara yang menakut-nakutkan orang lain.
- Kelima : Hendaklah gurauan itu tidak mengandungi perkara yang menghina, mencerca, mengolok-olokkan atau menyakiti orang lain.
- Keenam : Hendaklah dia tidak bergurau senda dalam perkara yang apabila diguraukan perkara itu akan menjadi sungguh-sungguh seperti nikah, talak atau rujuk kerana Rasulullah bersabda : Tiga perkara boleh menjadi sungguh-sungguh dan senda guraunya pula menjadi sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk". (riwayat Al-Iman Abi Daud)